Wednesday, November 08, 2006

Tiket PGLtM habis dijual di Singapura
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KEGEMBIRAAN jelas terpancar di wajah Datin Seri Tiara Jacquelina. Mana tidaknya, jualan tiket untuk teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGLtM) yang bakal dipentaskan di Esplanade Singapura bermula 24 hingga 26 November ini telah habis dijual sejak sebulan lalu.

Tiara yang merupakan Penerbit Eksekutif PGLtM berkata, berita itu amat mengejutkan kerana sejak dua musim teater tersebut dipentaskan di Istana Budaya (IB), tiket hanya habis dijual sehari sebelum persembahan.

“Saya baru nak buat tempahan tiket untuk kawan-kawan di sini. Bila buka laman web, tiket sudah habis dijual. Sungguh menakjubkan. Kami semua terkejut dan menganggap itu sebagai satu petanda baik, bukan untuk PGLtM sahaja tapi untuk seni tanah air,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di kediamannya di Kota Kemuning, Sabtu lalu.

Jelas Tiara, tiket-tiket untuk pementasan di Esplanade Singapura yang boleh memuatkan penonton seramai 2,000 orang itu dijual pada harga S$35 (RM81.7) dan S$98 (RM228.7).

Bukan setakat harga tiket laris dijual, malah pihak Enfiniti Productions Sdn. Bhd., juga mendapat permintaan untuk menambah hari pementasan.

Namun disebabkan dewan tersebut penuh dengan jadual persembahan lain, tenaga produksi hanya berpeluang menambah persembahan matinee pada 25 November, pukul 3 petang.

“Itupun pihak Esplanade cari juga waktu untuk selitkan persembahan tambahan. Kami boleh lanjutkan persembahan tapi waktu tidak ada. Apa pun peluang mengadakan persembahan di tempat itu merupakan satu penghormatan.

“PGLtM merupakan teater muzikal Melayu pertama yang dipentaskan di sana. Pihak Esplanade berminat untuk membawa PGLtM ke sana sejak ia dipentaskan di IB Februari lepas,” katanya.

Untuk persembahan di Singapura nanti, 112 tenaga produksi termasuk para pelakon akan bertolak ke sana, lima hari sebelum pementasan. Sementara lima kontena akan digunakan untuk membawa segala set peralatan.

Untuk pementasan itu, Bodeng yang memang berpengalaman dalam penganjuran pementasan besar seperti Konsert Zainal Abidin dan Sheila Majid di Jepun diberi tanggungjawab untuk menjadi Pengarah Projek.

Jelas Bodeng, untuk mengendalikan satu projek besar begitu selalunya logistik yang perlu dititik beratkan.

“Nak bawa set yang besar dari sini ke sana bukanlah mudah. Masalah selalunya di bahagian kastam. Perlu senaraikan semua barang daripada yang besar sampai yang halus sekali. Memang memerlukan banyak kesabaran,” katanya terus terang.

Selain Bodeng, nama baru yang bakal menjadi tulang belakang rombongan PGLtM ke Singapura ialah Mac Chew yang menggantikan Roslan Aziz sebagai Pengarah Muzik.

“Kami dah cuba ajak Roslan bersama, tapi dia sibuk dengan komitmen lain,” jelas Tiara.

Lain-lain nama yang kekal dengan produksi tersebut ialah Zahim Al-Bakri (pengarah), Pat Ibrahim (koreografer), Raja Malek (Pereka Set/Kostum).

Sementara barisan pelakonnya, selain Tiara, Stephen Rahman-Hughes yang sibuk berlakon di London pun akan tetap hadir dua hari sebelum pementasan, untuk menjayakan watak Hang Tuah.

Malah kata Tiara, paling menggembirakan kebanyakan pelakon termasuk Adlin Aman Ramlie yang berlakon sebagai Raja Melaka dan AC Mizal (Raja Majapahit, Gusti Adipati Handaya Ningrat) masih lagi ingat setiap dialog yang perlu dituturkan.

“Semua pelakon tidak sabar untuk ke sana. Sekarang ini pun kami sibuk berlatih di studio Filem Negara, Petaling Jaya. Sebelum ke sana, kami perlu buat latihan dengan set kerana di sana pentasnya sedikit berbeza dengan IB,” katanya.

LAIN-LAIN FAKTA

- Tidak ada perbezaan antara pementasan di IB dengan di Singapura.

- Untuk adegan lagu Sultan Perang dan Melaka Terbilang, akan lebih banyak aksi menari dan gerakan pantas.

- Latihan bermula sejak bulan puasa dengan penambahan lima pelakon.

- Dua hari diperlukan untuk melakukan kerja-kerja teknikal.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home